Rabu, 16 Julai 2008

Indahnya Tabarru'(Sedeqah) Dalam Takaful

Sumber: Info Takaful - Jun 2005
Sesungguhnya Islam mengganggap harta sebagai anugerah dan pinjaman sementara kepada manusia. Perlu diingatkan bahawasanya manusia tidak memiliki harta tersebut secara mutlak, bahkan harta tersebut adalah sebagai amanah Allah untuk kita atur dan salurkan dengan cara yang diredhainya.

Sejajar dengan keputusan para alim ulama’ dalam mencari penyelesaian kepada pelaksanaan Sistem Insurans yang selari dengan prinsip Syariah Islam, maka mereka memutuskan bahawa penggunaan kontrak Tabarru’ adalah lebih praktikal dan selamat dalam mengatur-urus Sistem Insurans yang pada tujuan asalnya adalah dianggap baik.

Perbahasan yang ingin diketengahkan pada ruangan kali ini adalah berkaitan dengan Konsep Tabarru’ itu sendiri dan mengapa ianya dipilih sebagai kontrak yang selamat pada pandangan Islam dalam menjalankan aktiviti dan transaksi Insurans. Tabarru’ bolehlah diertikan sebagai suatu bentuk derma Ikhlas yang diberikan oleh satu pihak sahaja dengan tidak meminta pertukaran atau balasan daripada pihak yang lain. Ianya dianggap sebagai amalan terpuji di dalam Islam kerana terlalu banyak manfaat yang bakal diperolehi dengan syarat ianya mesti disertakan dengan niat yang Ikhlas.

Tabarru’ dalam aplikasi Insurans atau lebih dikenali sebagai Takaful lebih menjuruskan sumbangan para peserta Takaful di dalam satu Dana Khas di mana dana tersebut berfungsi untuk menyumbangkan bantuan sumbangan kepada mana-mana peserta yang ditimpa musibah. Dalam hal ini, sumbangan Tabarru’ yang telah disumbangkan itu tidak boleh ditarik balik oleh peserta kerana ianya merupakan sumbangan yang telah didermakan. Keunikan Dana Tabarru’ ini ialah ianya berfungsi untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah sebagaimana yang telah dipersetujui. Dalam aplikasi Takaful, jika sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara yang dilindungi, sumbangan Tabarru’ tersebut berperanan sebagai sumbangan amal jariah yang sangat-sangat istimewa di dalam Islam. Tiada istilah ’wang hangus’ diutarakan kerana ianya wang derma yang bakal diganjari jika disertakan dengan niat yang IKHLAS.

Begitu juga kepada para wakil atau ejen Takaful yang terus menerus mempromosikan konsep Tabarru’ ini, di mana mereka juga bakal mendapat ganjaran Ilahi sebagaimana maksud Hadith:

"Barangsiapa yang menunujukkan sesuatu kebaikan, maka baginya ganjaran sebagaimana ganjaran orang yang mengerjakannya". (Riwayat Muslim)

Jika dilihat dari kacamata Islam, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya agar melakukan derma Ikhlas kerana Allah s.w.t. dan amalan ini sangat dipuji di dalam Islam. Terlalu banyak dalil-dalil yang menyokong perkara ini. Antaranya maksud firman Allah s.w.t.:

"Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Baqarah: 254)

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." (Surah al-Baqarah:261)

"Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya)." (Surah al-Baqarah: 265)

Kesimpulannya, kita boleh mengaplikasikan konsep Tabarru’ itu melalui penglibatan kita sebagai peserta Takaful. Semoga harta yang kita peruntukkan sebagai sumbangan Takaful itu menjadi hujjah di hadapan Allah kelak sebagai harta yang diredhaiNya.

0 ulasan:

Tentang Blog Ini

Satu usaha untuk menyebarkan maklumat dan memberi kefahaman khusus tentang Takaful atau Insurans berasaskan Islam serta menyelesaikan isu dan kekeliruan berkenaannya di samping menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkaitan.

  © Blogger template 'The Base' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP